minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Kuasa Mahathir yang Menjunam
(Mahathir: Declining powers)

Oleh Michael Vatikiotis/Hong Kong

Catatan: Tulisan asal  yang diambil daripada The Far Eastern Economic Review terdapat  dalam Webantu.

Nama Mahathir Mohammad sudah terpahat dalam buku sejarah sebagai seorang perdana menteri pilihan  rakyat  yang   paling lama berkuasa. Cuma di waktu yang terdekat ini  barulah ramai rakyat Malaysia yang mula gusar bagaimanakah negara mereka dapat terus membesar tanpa lakonan rangsangan motivasi dan cakap bagak di pentas dunia. Tetapi kini, ramai ahli parti politiknya sendiri  yang mahu melihat  pemimpin yang sudah berusia 75 tahun itu, mengundurkan dirinya. " Hanya dialah seorang pemimpin parti yang saya kenali yang saya ketahui menjadi liabiliti (beban)  kepada partinya," demikian  pendirian tegas, Shahril Samad, seorang  ahli majlis tertinggi  yang bersikap berfikiran bebas dalam parti yang dipimpin oleh Mahathir.

Seperti Presiden China Jiang Zemin, Mahathir sedang  menonjolkan satu usaha  di mana dia cuba mengkonkritkan satu legasi di penghujung  perkhidmatannya yang sungguh lama. Sayang, dalam banyak hal, dia tidak lagi mampu menyahut cabaran  yang menghantui negaranya.

Mahathir mula memegang tampuk kuasa sejak 1981. Dia telah mengakui betapa dia telah bertanggungjawab kepada kekalahan  yang ditanggung oleh UMNO pada November 29 ketika berlakunya pilihanraya kecil di Lunas. Namun doktor yang bertukar peranan sebagai ahli politik itu memang tidak mudah menukar haluannya.  Pendekatan yang diambil untuk memimpin Malaysia adalah berdasarkan sikap  tidak mudah selesa, memujuk dan kalau perlu mendera dan mendakwa sesiapa saja yang tidak nampak wawasannya untuk membangunkan negara.

Memang banyak kesan yang  menyerlah dalam hal itu. Pemandangan Kuala Lumpur berubah dan ekonomi negara pada  sekitar 90-an naik bercambah. Terdapat juga beberapa lakonan mega yang dianggap pembaziran semata-mata dalam bentuk  ekspedisi ke Khutub Selatan, Mendaki Gunung Everest, dan penerokaan ke Afrika dalam usaha menjalin hubungan ekonomi dengan negara yang sedang membangun.  Di dalam negara pula  terdapat beberapa peristiwa kelam yang memualkan - contohnya ialah pergelutan Mahathir dengan para hakim yang memihak kepada  musuh politiknya pada 1980-an dulu, dan juga usaha menekan dunia surat akhbar  di waktu yang sama.  Mahathir telah mengambil sikap menungkah arus dalam penghayatan  kepimpinan politiknya, sehinggakan beliau masih bertegas terhadap media dan terus percaya dengan penggunaan  undang-undang keras terhadap para penentang politiknya.

Pada 1998, berlaku persinggitan di antara beliau dengan timbalannya Anwar Ibrahim, sehinggakan negaranya berpecah  dan sokongan terhadapnya dalam parti  sendiri mula goyah. Penyingkiran Anwar mungkin dapat difahami kerana terdapatnya gelombang tidak puas hati terhadap ketahanan Mahathir di kalangan  pengikut Anwar sendiri. Tetapi, para penyokong Anwar berpendapat, cara Anwar diaibkan itu adalah amat bertentangan dengan hak asasi manusia. Semakin ramai rakyat Malaysia bersetuju dengan pendapat itu, sehinggakan mereka bangkit menyanggah Mahathir dan menarik sokongan  mereka terhadapnya dalam  pemilu yang lalu. Suara majoriti parti pimpinan Mahathir menjadi berkurangan di parlimen.

Mahathir telah melakar Malaysia moden mengikut  rupa bentuk  kepercayaan dirinya dan dalam proses itu  telah merobah lakaran politik negara. Dia telah menyanggah  kuasa tradisi raja-raja mengenai hak-hak mereka dan dalam proses itu telah melumpuhkan sistem persekutuan negara. Kebenciannya terhadap kebebasan akhbar  membuatkan dunia akhbar negaranya jatuh monyok. Retoriknya yang  anti-barat  telah menonjolkan namanya, dan sekaligus menonjolkan negaranya sebagai helah dan kelentongannya untuk  mewarnai masyarakat global. Beberapa ahli ekonomi telah berpendapat  Mahathir mungkin telah menyelamatkan  Malaysia daripada cengkaman  krisis ekonomi 1997 dulu dengan cara  menetapkan kadar tukaran matawang negara. Tetapi secara jangka panjang, dia telah memusnahkan kredibiliti negara untuk menjadi satu pusat niaga pasaran bebas.

Akhirnya nanti, Mahathir akan diiktiraf sebagai salah seorang pemimpin terkemuka Asia. Tetapi legasi  ini akan dipalit dengan  pandangan politiknya yang tidak menyenangi pendapat orang lain  dan cara-cara dia membentuk  institusi demokratik negaranya  mengikut acuan  autoritarian bikinannya. Inilah sebabnya setiap kali kita tanya rakyat Malaysia, mengenai bakal pengganti  perdana menteri itu, ramai yang   mengharapkan agar penggantinya nanti biarlah seorang insan yang pendiam, dan tidak setangkas sepertinya.  

Terjemahan MT

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter